Cenuram Merah dan akibatnya Tiga_Kerajaan

Tapak tradisi Cenuram Merah.

Pada tahun 208, tentera Cao Cao mara ke selatan dengan harapan untuk menyatukan empayar dengan cepat. Liu Cong, anak lelaki Liu Biao, menyerahkan wilayah Jing, dengan Cao Cao juga menangkap sebuah armada yang besar di Jiangling.

Bagaimanapun, Sun Quan, pewaris Sun Ce di Yangzi Bawah, masih terus menentang. Penasihatnya Lu Su mengikat perikatan dengan Liu Bei yang baru-baru ini melarikan diri dari utara. Zhou Yu, saudara sejati Sun Ce, dilantik untuk mengetuai angkatan tentera laut Sun Quan, bersama dengan Cheng Pu, pegawai veteran daripada keluarga Sun. Angkatan campuran mereka sebanyak 50,000 orang askar bertemu dengan armada serta 200,000 orang askar Cao Cao di Cenuram Merah (juga dikenali sebagai Chi Bi) pada musim sejuk tahun itu.

Selepas sebuah pertempuran permulaan yang kecil, suatu rancangan untuk membakar armada Cao Cao dijalankan untuk mengenakan kekalahan yang muktamad pada Cao Cao. Kejayaan rancangan itu memaksa Cao Cao berundur dalam keadaan kucar-kacir ke utara, dan membekalkan asas kepada negeri Shu dan Wu.

Selepas kepulangannya ke utara pada tahun 211, Cao Cao memuaskan diri dengan penyerapan kawasan-kawasan barat laut serta pengukuhan kuasanya. Beliau beransur-ansur menambahkan kuasa dan gelarannya, dan akhirnya menjadi Putera Wei pada tahun 217, suatu gelaran yang dianugerahinya oleh maharaja boneka Han yang dikuasainya.

Liu Bei, setelah menewaskan hulubalang-hulubalang Jing yang lemah, iaitu Han Xuan, Jin Xuan, Zhao Fan, dan Liu Du, masuk ke wilayah Yi, dan kemudian pada tahun 214 menggantikan Liu Zhang sebagai raja. Guan Yu, komandernya, ditinggalkan untuk mengetuai wilayah Jing.

Sun Quan yang pada tahun-tahun berselang terlibat dalam pertahanan Hefei di tenggara terhadap Cao Cao, kini mengalihkan perhatiannya kepada wilayah Jing dan Yangzi Tengah. Ketegangan antaranya dengan Liu Bei, sekutunya, semakin ketara. Pada tahun 219, selepas Liu Bei berjaya menawan Hanzhong daripada Cao Cao dan ketika Guan Yu terlibat dalam pengepungan Fancheng, Lü Meng yang merupakan panglima agung kepada Sun Quan secara rahsia menawan provinsi Jing serta menangkap dan membunuh Guan Yu.